Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mei. - Antara amalan agung yang sentiasa membasahi bibir para jemaah haji dan umrah ialah lafaz talbiah yang bermaksud: “Aku menyahut panggilan-Mu Ya Allah, aku menyahut panggilan-Mu. Aku menyahut panggilan-Mu tiada sekutu bagi-Mu, aku menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, segala nikmat dan seluruh kerajaan adalah milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu".
Lafaz ini bukan sekadar zikir biasa, bahkan merupakan pengakuan seseorang itu adalah hamba Allah, pengakuan segala puji hanyalah kepada Allah Subhanahu Wata'ala terhadap segala nikmat-Nya.
Besarnya ganjaran talbiah apabila setiap kali jemaah haji dan umrah melafazkannya dengan penuh keikhlasan, dia sebenarnya disertai oleh seluruh alam, seluruh alam turut bersama-sama mengagungkan Allah Subhanahu Wata'ala.
Oleh sebab itu, para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam meninggikan suara bertalbiah dengan penuh semangat dan penghayatan.
Demikian antara inti pati di dalam tazkirah bertajuk 'Hebatnya Lafaz Talbiah' yang disampaikan oleh Guru Sekolah Menengah Rimba II, Kementerian Pendidikan, Awang Omardi bin Haji Abu Bakar, yang merupakan jemaah haji yang mengikuti Syarikat Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd. bagi menyerikan Malam Munajat Kali Ke-230 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pada malam tadi.
Menyemarakkan acara munajat minggu ini ialah para jemaah haji negara yang kini berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah, pelajar-pelajar Perkhemahan Husnul Khuluqi 2026, Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari beberapa buah masjid di seluruh negara.
Turut menyertai, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; serta warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, jemaah haji yang mengikuti Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn. Bhd.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pendidikan Ugama, Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Pengiran Muhammad Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, jemaah haji Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang, jemaah haji Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd.
Sejurus selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Pelajar-pelajar Perkhemahan Husnul Khuluqi 2026 anjuran bersama Jabatan Pengajian Islam, KHEU; Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan; dan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari Perkampungan Sukan dan Padang Kawad, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Pulaie.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) dibacakan oleh Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji NBD.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: 'http://tiny.cc/munajatkheu'.